BAB I: Maharaja Rawana Bertemu Nabi Adam

on Apr 5, 2009

Tersebutlah kisah seorang raja, Rawana namanya, yang sedang bertapa di suatu tempat bernama Bukit Serendib. Ada pun pekerjaannya setiap hari ialah mengumpulkan kayu api, diletakkannya di bawah rangka kayu yang telah didirikannya. Pada malam hari, ia mengikatkan dirinya pada rangka kayu itu, kakinya di atas dan kepalanya di bawah.

Selang dua belas tahun lamanya ia bertapa, maka pada suatu hari, datanglah Nabi Adam menemuinya. Kerana hairan melihat kelakuan Rawana demikian itu, Nabi Adam pun bertanya kepadanya sebab-sebab ia berbuat demikian. Lalu di ceritakan oleh Rawana bahawa ia sedang bermohon kepada Tuhan supaya menganugerahkan kepadanya kerajaan pada empat tempat, iaitu di laut, di darat, di atas keinderaan (langit) dan di dalam bumi.

Setelah mengetahui tujuan Rawana bertapa itu, Nabi Adam pun menyatakan kesanggupannya untuk menolong Rawana dengan syarat ia mestilah berjanji akan menjadi seorang raja yang adil, patuh kepada hukum-hukum Allah serta kasih kepada sekalian rakyatnya. Rawana dengan senang hati menerima perjanjian itu, lalu bermohonlah Nabi Adam kepada Tuhan supaya menganugerahkan empat buah kerajaan kepada Rawana, seperti yang dikehendakinya itu. Dengan seketika itu juga permohonan Nabi Adam dikabulkankan Tuhan. Maka Rawana pun jadilah seorang raja yang besar kuasa serta hukumnya dan namanya pun bertukar menjadi Maharaja Rawana.

Tidak lama sesudah Rawana menjadi raja, baginda pun beristerikan seorang puteri di negeri keinderaan, bernama Nila Utama. Puteri ini kemudiannya melahirkan seorang putera yang amat elok parasnya lagi besar tubuhnya, dinamakan Indrajit. Setelah genap umurnya dua belas tahun ia pun dirajakan di dalam bumi.

Setelah itu Maharaja Rawana menjadi raja pula di dalam bumi, lalu berkahwin dengan seorang puteri yang bernama Puteri Partiwi Dewi. Mereka mendapat seorang putera yang dinamakan Patala Maharayan. Putera ini kemudian dirajakan di dalam bumi.

Dari dalam bumi, Maharaja Rawana pun berpindah lalu menjadi raja di dalam laut. Tidak beberapa lama baginda memerintah negeri di dalam laut itu, baginda pun beristerikan Puteri Gangga Maha Dewi, lalu mendapat seorang putera terlalu pahlawan rupanya, dinamakan Gangga Maha Sura. Apabila genap umurnya dua belas tahun, putera ini menjadi raja di dalam laut.

Setelah merajakan ketiga-tiga anakandanya, Maharaja Rawana pun kembali ke negerinya di atas bumi, lalu menjadi raja. Terlalu besar kerajaanya di atas bumi sehingga segala kerajaan-kerajaan lain dari Mashrik hingga Maghrib taklok kepadanya. Tetapi ada empat buah negeri yang masih belum tunduk kepadanya, iaitu negeri Indera Puri, negeri Biru Hasha Pura, negeri Lekor Katakina dan negeri Aspaha Boga.

Ada pun tempat Maharaja Rawana menjadikan negerinya itu ialah di Bukit Serendib, tempat baginda bertapa dahulu. Tempat ini kemudian dinamakan Gangga Puri dan di situlah baginda memerintah dengan adil serta bijaksana sehingga jikalau anaknya sekali pun yang membuat salah akan dihukumnya. Demikianlah halnya Maharaja Rawana, raja besar yang sangat dikasihi rakyatnya memerintah beberapa lamanya di atas takhta kerajaannya.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

About

 
© mahabharata All Rights Reserved