BAB II: Kisah Di Negeri Indera Puri Negara

on Apr 6, 2009

Tatkala Maharaja Rawana sedang dalam pertapaan dahulu, tersebutlah kisah seorang raja bernama Berma Raja yang memerintah di negeri Indera Puri Negara. Selang tujuh tahun lamanya baginda memerintah, baginda Berma Raja pun hilang (mangkat), lalu diganti oleh puteranya yang tuha (توها - tua) bernama Badanul. Sangatlah adil pemerintahan baginda ini sehingga negeri menjadi aman dan baginda sangat dikasihi oleh sekalian rakyatnya.

Raja Badanul mempunyai dua orang putera, seorang bernama Suragarma, dirajakan di negeri Santana Pura. Dan seorang lagi bernama Jawa Karma, dirajakan oleh ayahandanya di negeri Sandaka Pura (سند كفورا).

Setelah delapan tahun baginda berada di atas takhta kerajaannya Raja Badanul pun mangkat. Berkampunglah sekalian raja-raja serta orang besar-besar kerana melantik penggantinya yang bernama Chitra Baha. Baginda ini sebagai seorang raja tidak pula kurang adilnya, tambahan lagi baginda terlalulah perkasa orangnya. Baginda mempunyai tiga orang anak, seorang bernama Kambakarna, dirajakan di gunung Kalburun Gangsa. Ada pun putera Kambakarna ini sangat gagah orangnya, sejak kecil lagi ia telah berani bermain-main di hutan serta di dalam gua di negeri itu. Dan lagi apabila ia tidur, tiga bulan lamanya ia tiada jaga. Putera baginda yang kedua bernama Bibasenam, orangnya alim serta pandai pula dalam ilmu nujum. Ia dirajakan oleh ayahandanya di negeri Mandara Puri Negara. Yang ketiga ialah seorang puteri bernama Sura Pandaki (سور فنداكي) yang kemudian dikahwinkan dengan sepupunya yang bernama Barga Singa.

Apabila genap empat tahun baginda memerintah, raja Chitra Baha pun mangkat. Maka bermesyuaratlah segala menteri dan orang besar-besar negeri itu kerana hendak mengangkat Jama Menteri (جام منتري), iaitu adik yang tertua kepada baginda yang mangkat itu. Tetapi lantikan tersebut di tolak oleh Jama Menteri kerana menurutnya, ia tiada layak, lagi pun bukan mudah menjadi seorang raja. Katanya lagi, seorang itu harus mempunyai tujuh sifat untuk menjadi raja yang sempurna.

Pertama: Raja itu hendaklah berilmu, tahu membezakan antara baik dan buruk, benar dan jahat.

Kedua: Ia telah akil baligh, beriman dan mengasihi sekalian rakyatnya.

Ketiga: Baik parasnya.

Keempat: Bersifat berani.

Kelima: Pandai bermain senjata.

Keenam: Mengasihi segala hubungannya.

Ketujuh: Mestilah membanyakkan jaga daripada tidur.

Namun demikian, segala menteri-menterinya itu masih juga berkehendakkan Jama Menteri menjadi raja, lalu dipujuknya beberapa kali, tetapi tiada juga ia mahu. Sebaliknya ia mencadangkan pula supaya saudaranya yang bernama Narana itu dilantik menggantikan baginda yang mangkat. Maka bersetujulah sekaliannya.

Akan Raja Narana, baginda mempunyai dua orang puteri serta seorang putera. Puteri-puterinya, seorang bernama Dewi Samala, bersuamikan Jawa Karma. Dan seorang lagi bernama Martula Dewi, bersuamikan Maharaja Bibasenam. Puteranya yang seorang itu Berahma Sura, beristerikan anak Sardal yang bernama Puteri Kanda Sokma. Putera ini kemudian dirajakan oleh ayahandanya di negeri Jipor, sangatlah aman negeri itu di bawah perintahnya kerana baginda memerintah dengan adil dan saksama.

Setelah memerintah tiga tahun lamanya dan dengan kehendak tuhan, baginda Raja Narana pun mangkat lalu diganti oleh Menteri Shaksha (منتري شكش), juga seorang raja yang amat adil. Ketika itu negeri Indera Puri Negara pun sangatlah aman, tiada orang yang hidupnya teraniaya atau menganiaya, sekaliannya sangat mengasihi akan rajanya. Baginda Menteri Shaksha ini mempunyai dua orang putera. Seorang bernama Chitra Turi Satarwati (توري ستروت), dan dirajakan oleh ayahandanya di negeri Indera Pasti. Seorang lagi puteranya bernama Derma Tantaka, berkahwin dengan anak Kamdakata yang bernama Puteri Dewi Palbarana. Putera ini dirajakan di negeri Marduwangsa.

Akan Raja Shaksha itu namanya pun menjadi masyhurlah ke seluruh alam sebagai raja yang adil serta pandai menawan hati sekalian rakyatnya. Kararlah kerajaan baginda beberapa lamanya.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

About

 
© mahabharata All Rights Reserved