BAB III: Raja Balikasha Dan Raja Shaksha Bermusuhan

on Apr 14, 2009

Kisah berpindah ke negeri Biru Hasha Purwa. Dalam peperangan yang hebat, raja negeri itu yang bernama Maharaja Dati Kuacha telah dikalahkan oleh raja negeri Indera Puri Negara yang bernama Chitra Baha. Dalam peperangan itu putera Maharaja Dati Kuacha telah terbunuh, manakala segala orang-orang yang diam di istana semuanya ditawan oleh raja Chitra Baha, di bawa pulang ke negerinya.

Tetapi seorang saudara perempuan Maharaja Dati Kuacha yang bernama puteri Gangga Sura telah terselamat. Puteri ini kemudian berkahwin dengan putera Raja Raksha bernama Maharaja Dati Parjangga. Beberapa lama selepas itu, mereka pun mendapat seorang putera terlalu elok parasnya, diberi nama Balikasha.

Apabila telah dewasa, putera Balikasha pun menghimpunkan segala orang besar-besar dan rakyat negeri sekaliannyaan terselamat terselamat daripada peperangan dahulu itu untuk memperbaiki negeri Biru Hasha Purwa yang telah musnah itu. Beberapa lamanya mereka berkerja, negeri itu pun siap diperbaiki lalu naiklah Balikasha ke atas takhta kerajaannya menjadi raja dengan bergelar Maharaja Balikasha.

Untuk menjaga keselamatan negeri, baginda pun memperkukuhkan pertahanan negerinya di bawah jagaan seorang pahlawannya yang bernama Saghjalam. Pahlawan ini sangatlah gagah lagi perkasa. Jilatannya amatlah bisa sehingga apabila ia menjilat bekas tapak kaki seseorang, orang itu akan mendapat bisa yang amat sangat seperti dipatuk lakunva.

Hatta, apabila lengkap sudah segala pertahanan dan bala tentera pun telah siap sedia, Maharaja Balikashi memerentahkan supaya rakyatnya sekalian bersiap untuk memerangi negeri Indera Puri Negara. Akan tujuan berperang itu ialah kerana hendak menebus kekalahan saudaranya, Maharaja Dati Kuacha ditangan raja Chitra Baha dahulu itu. Tetapi sebelum pergi berperang baginda telah memerintahkan pahlawannya, Saghjalam dengan orang-orangnya supaya pergi memeriksa akan kekuatan Indera Puri Negara itu dahulu.

Titah baginda, “Pergilah engkau, Saghjalam ke negeri Indera Puri Negara itu memeriksa segala kebesarannya.”

Setelah bermohon, pergilah Saghjalam dengan orang-orangnya ke negeri Indera Puri Negara. Kira-kira empat bulan lamanya berjalan, sampailah mereka ke suatu tempat. Saghjalam pun menyuruh orang-orangnya berhenti disitu, manakala ia sendiri dengan dua orang pahlawan yang dipilihnya meneruskan perjalanan ke negeri Indra Puri Negara. Tiga bulan kemudian mereka pun sampai ke negeri itu. Oleh Saghjalam disuruhnya dua orang pahlawannya itu menanti di luar kota, maka ia pun masok ke dalam kota itu, berjalan dari satu tempat ke satu tempat. Lima hari lamanya ia berjalan demikian itu, barulah sampai ke tengah negeri itu. Dilihatnya dekat dengan istana raja ada sebuah rumah besar, tempat kediaman orang-orang dagang yang tiada berkeluarga. Mereka ini yang berjumlah seribu orang ramainya, senantiasa diberi makan percuma oleh raja negeri itu. Di rumah itulah Saghjalam ikut tinggal, sambil meneruskan pekerjaannya mengintai akan kebesaran raja negeri itu.

Sesudah diam beberapa lama di negeri itu dan melihat keadaan di istana raja, tidaklah syak lagi pada diri Saghjalam bahawa raja negeri Indera Puri Negara itu tiada berbanding akan kebesaran dan kekayaannya dan tidak terfikir di hatinya bahawa negerinya akan menang jika berperang dengan negeri Indera Puri Negara itu. Bersambung…

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

About

 
© mahabharata All Rights Reserved